Lengkapkan diri dengan ilmu sebelum haji

Iklan
Orang ramai dinasihatkan mengikuti kursus haji yang ditetapkan dan melengkapkan diri dengan ilmu asas tentang ibadah haji sebelum ke Tanah Suci Makkah. -FOTO: FACEBOOK LEMBAGA TABUNG HAJI.

ILMU merupakan asas penting untuk menunaikan haji dan ia wajib dipelajari jika ingin mencapai martabat haji yang mabrur.

Pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, disebabkan itu, menjadi kewajipan kepada setiap jemaah untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan berkaitan.

Iklan
Iklan

Antaranya ialah cara-cara mengerjakan haji daripada rukun, syarat, wajib dan sunat haji serta pantang larang sepanjang masa mengerjakan ibadah haji.

Sabda Rasulullah SAW:"Daripada satu umrah ke satu umrah itu akan menghapuskan dosa antara kedua-duanya dan haji mabrur itu tidak ada balasannya kecuali syurga." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iklan

Menurut agamawan itu, Islam amat menekankan tentang kelebihan orang menuntut ilmu sepertimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11.

"Jemaah haji yang telah bersedia dengan ilmu akan menjalani ibadah haji dengan yakin dan sempurna.

Iklan

"Jika ada masalah melaksanakan ibadah haji, rujuklah kepada mutawif yang menguruskan kita agar terselamat daripada terlepas melaksanakan rukun haji atau wajib haji serta tidak melanggar larangan ihram dan haji," jelasnya.

Sebelum menjejakkan kaki ke tanah haram, Ustaz Bakhtiar Fitri berpesan agar jemaah berniat menunaikan haji ikhlas semata-mata kerana ALLAH.

"Hendaklah berusaha menambah amal sepanjang berada di sana. Jangan terlalu banyak berehat atau melakukan perkara yang sia-sia contonhya menghabiskan masa dengan telefon bimbit dan membeli-belah.

"Dari segi fizikal, banyakkan bersenam kerana kita perlu melalui perjalanan haji yang sukar. Siapkan juga ubat-ubatan yang diperlukan," ujarnya.

Paling penting, kata beliau, kekuatan emosi dan mental para jemaah. Banyakkanlah bersabar, bertolak ansur dan berlapang dada dengan ujian seperti kesusahan ibadah, selain elakkan perbalahan dengan manusia.

Seperkara lagi, tegas tokoh agama itu, jangan rosakkan ganjaran haji dengan sikap negatif dan dosa-dosa yang menjerumuskan kita kepada haji yang 'tertolak'.

Tambahnya, ujian terbesar apabila sekembalinya daripada haji. Sejauhmana kita istiqamah menunaikan ibadah di rumah ALLAH?

"Apalah ertinya gelaran haji menjadi tetamu di Makkah, tetapi sekembalinya daripada tanah haram masih gagal menjadi tetamu di rumah ALLAH," katanya.

(ARTIKEL BERKAITAN: Patuh arahan hingga abaikan ibadah)