KUCHING - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kekal tidak menghalang jika Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menerima Datuk Dr Jerip Susil, yang bebas daripada mana-mana parti.
Dr Jerip mengumumkan secara tiba-tiba perletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) semalam, dengan berkata beliau membuat keputusan itu selepas berunding dengan orang ramai dan penyokongnya di kawasan dewan undangan negeri Mambong.
”Satu satu dahulu... hanya tengah hari semalam saya mendapat kenyataan itu (mengenai Dr Jerip keluar PSB) dalam grup WhatsApp kami dalam media sosial,” Abang Johari, yang juga pengerusi GPS dan presiden PBB, memberitahu pemberita selepas merasmikan Festival Mind & STEM 2019 di sini, hari ini.
Disoal lanjut oleh media bahawa penyokong Dr Jerip mahu beliau menyertai PBB terutama bagi membolehkan rakyat mendapat faedah daripada kerajaan GPS di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), katanya:"Kami lihat bagaimana perkembangannya”.
Meskipun PSB bukannya sebuah parti komponen GPS, Dr Jerip adalah ahli pentadbiran neger ini sebagai Menteri Muda Pengangkutan Sarawak.
Pada masa kini, di bawah GPS terdapat empat parti asas di Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sementara itu, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, pintu parti sentiasa terbuka bagi Dr Jerip dan anggota lain yang dipilih dari PSB.
"Kami sentiasa menyambut baik mereka kembali dan bagi perpaduan Sarawak, kami memerlukan semua orang untuk bersatu,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Dr Sim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata, tiada syarat ditetapkan bagi menerima Dr Jerip sekiranya beliau membuat keputusan untuk menyertai semula SUPP.
Pada 2001, Dr Jerip, seorang doktor perubatan secara profesyen menyertai SUPP dan memenangi kerusi DUN Bengoh (kini dikenali sebagai Mambong) dan beliau pertahankannya pada 2006 dan sekali lagi pada 2011.
Pada pilihan raya negeri 2016, beliau mengekalkan kerusi itu di bawah tiket Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebelum dijenamai semula sebagai PSB awal tahun ini. - Bernama