KUALA PILAH - Seorang imam yang juga pesara polis sebak dan menitiskan air mata sebaik dijatuhkan hukuman selama lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sulaiman Abdul Rahman, 63, selepas dia mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan mencuri, memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 27 Januari lalu lebih kurang jam 11.40 pagi di Jalan Sidang Mohd Nor, Kg Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang didapati memiliki sepucuk pistol Revolver.38 SPL 3" Smith & Wesson tanpa kebenaran yang sah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, masa dan tempat yang sama, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru Winchester.38 Special, satu butir peluru.38 SPL dan satu butir peluru.38 SME tanpa suatu kebenaran sah.
Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 27 Disember 2007 pada jam 10 malam, tertuduh didapati dengan sengaja mencuri sepucuk pistol Revolver.38 SPL 3" Smith & Wesson dan 30 butir peluru.38 milik Polis Di Raja Malaysia di kaunter stor cawangan persenjataan (AMRA) Balai Polis Kuala Pilah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua -duanya.
Timbalan Pendakwa Raya / Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu serius selain sebagai anggota polis tertuduh mengetahui hal itu salah.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Che Muji Che Noh memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh telah insaf akan kesalahannya selain mengambil kira faktor kesihatan tertuduh.
Mahkamah kemudiannya memutuskan hukuman penjara selama lima tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.