Projek tambak laut: PP tak abai kebajikan nelayan
Iklan
Kon Yeow (tengah) bersama Afif menunjukkan cadangan tuntutan yang dikemukakan PenMutiara kepada kerajaan negeri pada sidang media tadi.
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan mengabaikan dan meminggirkan kebajikan nelayan apabila projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) mula dilaksanakan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan meneliti setiap cadangan tuntutan yang dikemukakan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) pada 31 Mei lalu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sejak perancangan projek tersebut, kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas, The Fisherman Task Force untuk menguruskan semua perkara yang melibatkan nelayan dan keluarga mereka.
"Kerajaan negeri mengambil maklum tentang protes yang dijalankan sekumpulan nelayan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berdekatan bangunan Parlimen semalam.
Iklan
"Beberapa cadangan tuntutan yang dikemukakan akan diteliti antaranya pemberian bot nelayan moden, pembelian rumah kos rendah melalui skim sewa beli dan pembinaan jeti sementara. Tiada wang tunai dituntut dalam cadangan tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya tadi.
Kon Yeow berkata, The Fisherman Task Force yang kini dipengerusikan Exco Pertanian dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin dijangka mengadakan mesyuarat dengan PenMutiara untuk rundingan kesemua cadangan tuntutan yang dikemukakan.
Iklan
"Mesyuarat itu dijangka diadakan pada September ini kerana kita perlu masa untuk buat persediaan dalam mengkaji pilihan tuntutan yang diberikan.
"Untuk makluman, tiada sebuah rumah atau kampung yang terlibat dalam projek ini kerana ia dijalankan di laut," katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan memastikan kehidupan nelayan tidak akan terjejas dengan pelaksanaan projek PSR ini.
"Perkara ini termaktub dalam 18 syarat yang diberikan Majlis Perancangan Fiskal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad April lalu," katanya.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia memberi taklimat dan penjelasan kepada mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir berhubung projek tersebut.
"Kita bersedia untuk memberi penjelasan dan taklimat bahawa projek ini tidak akan menjejaskan kehidupan nelayan dan penduduk setempat.
"Salah satu nasihat yang diberikan MPFN ialah untuk menangani impak kepada nelayan termasuk pemberian pampasan yang sepatutnya kepada mereka," katanya.
Semalam, satu himpunan Menolak Projek PSR di Pulau Pinang diadakan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Koordinator Forum Pulau Pinang, Khoo Salma Nasution.
Susulan daripada itu, Dr Mahathir dilaporkan akan meneliti memorandum bantahan dibuat kumpulan itu selain kerajaan Pusat juga akan mengambil tindakan sesuai jika dakwaan yang dinyatakan berasas.
Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang menerima surat kelulusan untuk melaksanakan projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menerusi surat berkenaan, JAS memberi kelulusan tersebut besertakan 72 syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek tambakan tersebut dijalankan.
Projek PSR melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah dan ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi transit aliran ringan (LRT), monorel dan tiga lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.
Pengalaman berdepan situasi cemas di tengah laut termasuk menyelamatkan beberapa mangsa tragedi bot karam baru-baru ini membuatkan Pencipta kandungan atau YouTuber dikenali sebagai Mohd Khushairi Mohd Zuki lebih menitik beratkan soal keselamatan setiap kali turun memancing, lapor wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman.
Berkongsi pengalaman bersama rakan menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia yang terapung selama empat hari di tengah laut berhampiran Pulau Jarak pada Rabu lalu, Mohd Khushairi berkata, mereka bernasib baik kerana dapat berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat pada badan masing-masing.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/698041/edisi/utara/youtuber-kongsi-pengalaman-selamatkan-empat-mangsa-bot-karam