MELAKA - Tindakan seorang lelaki meninggikan suara memarahi majistret kerana tidak puas hati ditegur dengan baik oleh majistet itu kerana perbuatannya mengambil gambar ketika perbicaraan sedang berlangsung, menimbulkan kekecohan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Peristiwa berlaku ketika Majistret Teoh Shu Yee sedang mendengar perbicaraan kes sambung reman bagi kes pecah rumah membabitkan 'Geng Surya' pada kira-kira jam 11.20 pagi.
Ketika perbicaraan sedang berlangsung, lelaki berusia 49 tahun itu, yang berada di galeri awam, telah mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil gambar suspek menyebabkan Shu Yee memberi amaran kepadanya agar tidak berbuat demikian kerana ia melanggar peraturan mahkamah.
Shu Yee kemudian meminta agar polis mahkamah mengambil MyKad lelaki itu dan menyoal dengan baik apa tujuan dia berbuat demikian.
Majistret berkenaan turut menasihati lelaki terbabit agar tidak meneruskan perbuatan itu kerana ia menyalahi peraturan mahkamah bagi menghormati hak suspek yang belum disahkan bersalah sebelum pengadilan mahkamah dilakukan.
Berang dengan nasihat majistret itu, lelaki itu tidak mempedulikan arahan polis mahkamah agar dia tidak berpeluk tubuh ketika berhadapan dengan majistret.
Setelah menerima kembali MyKadnya, lelaki itu dengan nada tinggi memarahi majistret itu dan mempersoalkan bidang kuasa majistret meminta MyKadnya sebelum dia dibawa keluar oleh polis mahkamah bagi meredakan ketegangan selama kira-kira sepuluh minit itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian itu dan berkata satu laporan polis telah dibuat.
Beliau berkata anggota polis mahkamah telah menahan lelaki itu dan merampas telefon bimbitnya.
Afzanizar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut mempunyai empat rekod jenayah lampau. - Bernama