MARANG - Pengundi berumur 18 tahun mesti mengambil tahu dan memahami politik supaya kuasa politik tidak terlepas ke tangan parti dan pemimpin yang tidak sepatutnya menerajui negara.
Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ramai dalam kalangan orang Islam tidak mengambil tahu hal politik dan menganggap siapa sahaja memerintah negara adalah sama.
Menurutnya, ada juga yang mendakwa orang Islam perlu duduk di masjid mengerjakan sembahyang sahaja dan tidak perlu mengambil tahu hal berkaitan politik.
Sebab itu katanya, orang bukan Islam berkuasa memerintah negara milik majoriti umat Islam.
"Akhirnya berlakulah seperti negara China, orang komunis berkuasa dan tidak membenarkan orang Islam pergi sembahyang di masjid, bahkan tidak benar sembahyang, bagaimana nak buat?
"Ini semua diajar oleh penjajah Barat supaya orang Islam menjauhkan diri dari dunia politik agar mereka mudah menguasai negara-negara orang Islam," katanya ketika menyampaikan kuliah di Masjid Rusila hari ini.
Abdul Hadi berkata, kerajaan mencadangkan untuk menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun dan Pas bersetuju sekiranya syarat pendaftaran automatik disekalikan.
"Kalau kerajaan tidak terima syarat ini kita tidak sokong. Kita bersama dengan UMNO, bersama GPS (Gabungan Parti Sarawak) (sebuah) parti di Sarawak, kita bersetuju sekiranya pendaftaran secara automatik," katanya.