Sektor pertanian intipati pertemuan Sultan Ibrahim, Duterte

Iklan
Sultan Ibrahim (kanan) ketika mengadakan pertemuannya bersama Duterte di Istana Malacanang, Manila, Filipina.

JOHOR BAHRU - Pembangunan sektor pertanian di negeri ini merupakan salah satu intipati pertemuan antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di Istana Malacanang, Manila semalam.

Baginda bertitah, lawatan itu bukan sahaja mahu mengukuhkan hubungan malah membuka lembaran kerjasama baharu dalam sektor utama.

Iklan
Iklan

Titahnya, antara perbincangan tersebut ialah cadangan kerjasama dalam ekonomi, teknologi pertanian, pembangunan infrastruktur serta pelancongan.

"Saya menyambut baik cadangan kerjasama itu dan berharap perbincangan selanjutnya selepas ini bukan sahaja meningkatkan kerjasama ekonomi antara Filipina dan Johor, tetapi saling mempelajari di antara kemajuan dalam bidang pertanian yang terbukti berjaya di negara ini.

Iklan

"Di samping itu, Filipina juga boleh mempelajari serta mencontohi beberapa kemajuan dicapai Johor antaranya berkaitan projek pembangunan. Apa yang penting adalah kesepakatan antara kedua-dua pihak supaya mendapat manfaat bersama,” titahnya kepada Royal Press Office.

Difahamkan, Baginda berkenan mengadakan lawatan selama dua hari ke Manila bermula kelmarin selepas menerima jemputan peribadi daripada Duterte.

Iklan

Mengiringi Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, Johor juga boleh mempelajari banyak perkara daripada Filipina khususnya berhubung teknologi pertanian di negara ini yang dilihat maju ke depan.

"Secara dasarnya, banyak perkara boleh dipelajari antara satu sama lain dalam usaha merancakkan lagi ekonomi Johor-Filipina,” titahnya.

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkesempatan memberi undangan kepada Presiden Filipina berkenaan untuk melawat Johor pada masa akan datang.