KUALA LUMPUR - Tawaran melancong ke luar negara secara percuma antara taktik popular digunakan sindiket pengedaran dadah dalam memperdaya rakyat Malaysia untuk dijadikan keldai dadah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, segelintir rakyat kita masih mudah terpedaya dengan tawaran pakej pelancongan percuma dan itu memudahkan sindiket ini untuk terus beroperasi.
Menurutnya, pelbagai taktik digunakan dan sindiket ini sentiasa memikirkan taktik baharu bagi memastikan dadah itu berjaya diseludup.
"Kes terbaru membabitkan dua lelaki yang ditahan di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang Sabtu lalu," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Kamarulzaman berkata, lelaki berkenaan menerima pakej percutian ke Busan, Korea Selatan.
"Mereka ditahan oleh anggota JSJN Ibu Pejabat Polis KLIA yang melihat lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan. Selepas disiasat, polis menemukan dadah yang disorok di pelapik tapak kasut.
"Siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan diarahkan memakai kasut yang disediakan pemberi pakej pelancongan itu sebelum menaiki pesawat," katanya.
Kamarulzaman berkata, sebelum ini ada dua rakyat Malaysia ditahan ketika bercuti ke Hong Kong kerana menyeludup dadah.
"Sebaik tiba di sana, sindiket terbabit memberi alamat dan mangsa diminta mengambil parcel atau bungkusan di situ untuk dibawa ke satu destinasi lain.
"Mereka kemudiannya ditahan selepas taktik itu berjaya dihidu pihak berkuasa di sana. Sindiket itu sentiasa mengambil kesempatan dan mengubah taktik dengan mensasar golongan muda,” katanya.
Kamarulzaman menambah, anggota JSJN Ibu Pejabat Polis KLIA ditempatkan 24 jam bertugas di KLIA dan KLIA 2 sebagai sebahagian usaha menangani penyeludupan dadah.