Duit KWSP hampir habis rawat kanser

Iklan
Mohd Saifuddin (kanan) menyerahkan borang Perkeso kepada Sasiah sambil diperhati Mohd Hamidi (kiri).

BATU PAHAT - Seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Kelicap di sini terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bagi membiayai kos perubatan penyakit kanser pankreasnya.

Sasiah Abd Samad, 58, berkata, selepas menghidap penyakit tersebut sejak tahun 2013, dia terpaksa berulang-alik ke empat hospital iaitu Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat; Hospital Selayang, Selangor; Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara setiap bulan.

Iklan
Iklan

"Sepanjang tempoh tersebut juga saya telah dua kali menjalani pembedahan iaitu pada tahun 2014 dan 2015, namun pembedahan tersebut hanya mampu membuang sebahagian penyakit saya sahaja.

"Kalau diikutkan, saya perlu menjalani pembedahan kali ketiga bagi membuang keseluruhan kanser ini, namun disebabkan faktor usia dan risiko pembedahan yang berisiko tinggi, saya tak dapat jalani pembedahan tersebut," katanya.

Iklan

Dia ditemui semasa menerima kunjungan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap dan Timbalan Pengurus Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Nor di rumahnya semalam.

Menurutnya, dia yang bekerja kilang sebelum ini juga terpaksa berhenti kerja selepas disahkan menghidap penyakit tersebut ekoran sering keletihan selain terpaksa menjalani pelbagai sesi rawatan di hospital.

Iklan

Katanya, dia kini juga menumpang di rumah ibunya kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah.

"Saya telah berhabis puluhan ribu ringgit untuk merawat penyakit termasuk menggunakan duit KWSP yang dikeluarkan beberapa tahun lalu dan duit tersebut juga hampir habis apabila kos rawatan dan pengangkutan saya setiap bulan ke empat hospital mencecah RM1,500 setiap bulan.

"Saya juga ada kalanya terbeban dengan kos ubat ‘khas’ sekiranya hospital kehabisan stok kerana ubat tersebut harganya sahaja mencecah RM7,000 dan saya perlu membeli di farmasi swasta dan ubat berkenaan juga hanya mampu bertahan selama sebulan sahaja," katanya.

Menurutnya, dia juga tidak pernah memohon sebarang bantuan bulanan daripada mana-mana agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal kerana tidak tahu saluran permohonan.

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, melalui semakan yang dilakukan, beliau mendapati Sasiah merupakan orang berinsurans (OB) dan layak untuk menerima Pencen Ilat Perkeso yang akan dibayar setiap bulan.

"Sepatutnya pesakit ini layak untuk mendapat bayaran pencen berkenaan lebih awal lagi, kira-kira lima tahun sebelum ini tetapi kelewatan untuk melakukan rujukan dengan pihak Perkeso menyebabkan ianya akan dibayar paling awal bulan hadapan (Ogos)," katanya.