Peniaga nasi lemak terima duit palsu

Iklan
Nurul Anis memuat naik insiden menerima duit palsu di Facebook miliknya hingga menarik perhatian netizen.

MELAKA TENGAH - Malang nasib seorang gadis apabila menerima wang palsu daripada seorang lelaki ketika membantu ibunya menjual nasi lemak di Pantai Klebang awal pagi tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.30 pagi, mangsa Nurul Anis Md Noor,18, didatangi pelanggan berusia 20-an sebelum individu terbabit menghulurkan not RM50 bagi membayar tiga bungkus nasi lemak berharga RM4.50.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia yang bersangka baik kemudiannya menghulurkan baki RM45.50 kepada lelaki yang datang menaiki motor skuter jenis Ego berwarna merah jambu sebelum lelaki bekenaan berlalu pergi.

Bagaimanapun katanya, dia tergerak hati untuk mengoyakkan duit berkenaan dan baharu sedar ia adalah duit palsu.

Iklan

"Kita dah siap bungkuskan (nasi lemak) dia pun hulur duit RM50, bila kita tanya tak ada duit kecik ke? Katanya tak ada.

"Awalnya pelik juga kenapa duit ni tebal semacam, dalam fikiran mungkin ini duit baharu, harga tiga bungkus nasi lemak RM 4.50, pulangkan baki RM45.50," katanya ketika ketika berkongsi mengenai insiden itu menerusi Facebook miliknya hingga menarik perhatian netizen.

Iklan

Katanya, dia tidak menyangka perkara itu berlaku dan menganggap tiada rezeki selain berasa terkilan dengan apa yang berlaku kerana ibunya hanya berniaga kecil-kecilan bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.

Dalam pada itu, Nurul Anis yang menggunakan akaun peribadi dengan nama Nrl Anix turut menasihatkan peniaga lain supaya berhati-hati.

"Pagi Jumaat lagi dah aniaya orang harap akak, abang, mak cik, pak cik yang meniaga seperti saya berhati hatilah," katanya.