Beku akaun: SPRM batal saman pemula Hasanah

Iklan
Hasanah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang membenarkan permohonanan SPRM, selaku responden untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Hasanah selaku pemohon di Mahkamah Tinggi Sivil.

Iklan
Iklan

Mohd Sofian ketika membuat keputusan itu berkata Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula itu kerana ia adalah tindakan undang-undang berdasarkan kesalahan jenayah.

"Saya tidak akan pergi kepada merit kes ini. Remedinya ialah untuk memfailkan cabaran perlembagaan di hadapan mahkamah jenayah. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk membatalkan saman pemohon dengan kos RM1,000," katanya selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal yang mewakili SPRM dan peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah.

Iklan

Hakim itu turut membenarkan permohonan Shaharudin untuk menarik balik perintah kedua dalam saman itu yang dituntut pemohon yang menyatakan bahawa notis yang dikeluarkan oleh SPRM mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM, adalah terbatal dan tidak sah.

Terdahulu, ketika Hakim Mohd Sofian menulis penghakimannya, peguam Shaharudin yang mewakili Hasanah tiba-tiba bangun dan menyatakan bahawa pihaknya ingin menarik balik perintah kedua dalam saman difailkan anak guamnya.

Iklan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang turut mewakili SPRM berkata sepatutnya peguam pemohon menerima sahaja apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

"’Approach’ (pendekatan) oleh peguam pemohon tidak kena kerana sepatutnya beliau menerima apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah. Saya rasa peguam tidak pasti apa yang dia inginkan. Tindakannya menarik balik perintah kedua itu pada saat-saat akhir adalah melampau 'and it is not a good practice for a lawyer' (dan ia bukan satu malan yang baik bagi seorang peguam)," katanya.

SPRM memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 19 April lepas atas alasan tuntutan saman itu tidak mempunyai locus standi dan menyalahguna proses mahkamah.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Sementara itu, Shaharudin berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan lain di Mahkamah Tinggi ataupun membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini. - Bernama