Dua warga emas maut diserang lelaki berparang

Iklan
Mangsa pertama diserang ketika berada di sebuah kopitiam di sekitar Buloh Kasap, Segamat kira-kira jam 6 petang tadi.

SEGAMAT - Dua warga emas maut akibat ditetak parang selepas dipercayai menjadi mangsa amukan seorang lelaki tempatan yang menyerang mereka di sekitar Buloh Kasap, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian jam 6 petang tadi, mangsa berusia 60-an dan 70-an maut selepas diserang menggunakan senjata yang sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek lelaki berusia 33 tahun dikatakan memarkir kenderaan motosikal jenis Modenas di pekarangan sebuah kopitiam sebelum masuk ke kedai kopi itu dan menyerang suspek pertama berusia 70-an.

"Mangsa mati di lokasi kejadian kerana kecederaan parah akibat beberapa tetakan di bahagian muka dan badannya.

Iklan

"Suspek selepas itu dikatakan melulu dengan berjalan kaki menuju ke sebuah kaki lima menjual durian yang berada pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama.

"Dia kemudiannya menyerang penjual durian berusia 60-an menggunakan senjata yang sama,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua ditikam sekali di bahagian tengah hadapan sebelum bergegas dibawa ke Klinik Kesihatan di Buloh Kasap oleh anggota polis.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika sedang dirawat. Suspek dipercayai warga tempatan kemudiannya berjaya ditahan di lokasi kejadian kedua dan polis turut merampas senjata yang digunakan suspek.

"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saksi kejadian diminta tampil menghubungi talian Hot Line Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222,” katanya.