Ketua Hakim Negara dahului penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

Iklan
Datuk Tengku Maimun
GEORGETOWN - Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mendahului senarai 877 penerima penerima darjah kebesaran bintang dan pingat kehormatan negeri sempena Ulang Tahun ke-81 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lalu, adalah penerima tunggal bagi Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Menurut senarai yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, terdapat dua penerima yang akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Iklan
Iklan

Selain itu, 12 orang dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, antaranya ahli korporat yang memegang jawatan Pengarah bagi beberapa syarikat berkaitan sektor industri, pembinaan dan pembangunan iaitu Datuk Ooi Teik Heng, ahli perniagaan yang juga Pengarah Eksekutif Syarikat Manora Sdn Bhd, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim, Naib Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.

Turut menerima anugerah DGPN itu ialah Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang, Khor Ten Haw @ Khor Teng How, bekas Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim.

Iklan

Selain itu seramai enam penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Datuk Hadhariah Syed Ismail, usahawan Datuk Chin Hai Siang, ahli perniagaan, Datuk Lee Ah Hoe, Pengerusi Koperasi Tunas Muda, Datuk Mansor Musa, bekas Pensyarah Universiti Malaya (UM), Shaari Mohd Isa, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Datuk Sulaiman Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Ir Abdullah Isnin dan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ir Addnan Mohd Rozali.

Sejumlah 50 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk dan antaranya ialah bekas ADUN Batu Uban Dr. T.Jayabalan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Mohd Jamil Mohamed dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Nor.

Iklan

Selain itu 55 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), Bintang Cemerlang Negeri (35), Pingat Kelakuan Terpuji (89), Pingat Jasa Kebaktian (278), Pingat Jasa Masyarakat (320) dan 29 orang menerima Pingat Bakti Setia.

Istiadat penganugerahan akan berlangsung di Dewan Sri Pinang di sini esok. - Bernama