Ambil kira dua aspek: Najib

Iklan
Najib ketika berucap pada program Santai Petang bersama Bossku di Kuala Nerang, hari ini.

KUALA NERANG - Menurunkan had umur mengundi dan calon pilihan raya kepada 18 tahun merupakan trend universal, dan negara harus menerima perubahan itu agar selari dengan peredaran zaman.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, namun perubahan itu harus mengambil kira dua aspek penting, iaitu tahap kematangan dan kebimbangan sekolah dijadikan medan politik apabila ia dikuatkuasakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun ia perubahan positif namun wujud kebimbangan kerana ia penentu masa depan negara.

"Kita terima sebagai satu perubahan yang selari dengan trend universal, walau ada kebimbangan sama ada usia itu melambangkan tahap kematangan untuk membuat penentuan masa depan negara, selain bimbang sekolah dijadikan medan politik, dua perkara ini harus kita fikirkan,” katanya, pada sidang media, selepas program Santai Petang bersama Bossku di Kuala Nerang, hari ini.

Iklan

Najib berkata, sekiranya had umur 18 tahun layak mengundi, usia itu juga layak diletakkan sebagai calon pilihan raya.

Ditanya sama ada perubahan itu bakal menguntungkan PH atau BN, Najib berkata, hanya pilihan raya yang akan menentukan kesan daripada perubahan itu.

Iklan

"Siapa tahu? Ketika pilihan raya sahaja kita akan tahu,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan pemimpin PH berhubung tempoh peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib sekadar berkata, ia bukan urusan UMNO.

"Itu urusan dalaman parti PH, saya tak berhak komen. Mereka pun tiada hak komen urusan dalaman parti kita,” katanya.