TUMPAT - Kakinya lumpuh namun di sebalik kekurangan diri, Mohd Faizal Ibrahim gigih mencari rezeki menyara keluarga.
Dengan kudratnya terbatas, Mohd Faizal, 32, dari Kampung Kok Berkat di sini menghasilkan replika motosikal Vespa daripada tin minuman terbuang.
Menariknya, ilmu membuat replika motosikal itu tidak dipelajari daripada mana-mana bengkel, tetapi pernah melihat pekerja kilang warga Indonesia yang juga rakan sekerjanya menghasilkan replika tersebut.
Kini hasil seni kreatifnya itu mula mendapat tempahan dan untuk menyiapkan satu unit motosikal mengambil masa satu hari.
"Pada mulanya saya hasilkan sekadar suka-suka untuk mengisi masa terluang. Tak sangka pula ada peminatnya dan ramai yang menempah replika motosikal Vespa ini selepas tular di media sosial," katanya ditemui di rumahnya di sini.
Mohd Faizal lumpuh separuh badan disebabkan kecederaan saraf tulang belakang akibat kemalangan jalan raya pada 2009.
Selepas kemalangan itu, dia menjalankan perniagaan kedai runcit, namun banjir besar 2014 menyebabkan dia mengalami kerugian apabila kedai runcitnya ditenggelami air.
Mohd Faizal berkata, dia menjual replika motosikal itu dengan harga RM30 satu unit.
"Untuk menyiapkan satu unit replika ini memerlukan lima tin minuman. Jika ada tempahan banyak saya terpaksa beli minuman tin seperti Milo, Nescafe, Pepsi semata-mata untuk mendapatkan tin tersebut.
"Lagipun dengan kudrat saya yang agak terbatas ini agak sukar untuk mencari tin terbuang, jadi saya perlu membelinya," katanya.
Menurut Mohd Faizal, selepas hasil kerja tangannya itu tular di media sosial, dia menerima kira-kira 30 unit tempahan daripada orang ramai.
Katanya, dengan hasil jualan itulah digunakan untuk menyara isteri, Nor Syahida Sulaiman, 29, dan dua anak serta dua adik ipar yatim piatu yang masih bersekolah.