KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 52 tahun melecur di seluruh anggota badan selepas rumahnya di Jalan Batai Bukit Damansara di sini terbakar awal pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa bersama enam ahli keluarga yang lain sempat menyelamatkan diri menggunakan pintu belakang rumah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, panggilan kecemasan diterima jam 1.48 pagi dan menghantar jentera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dibantu BBP Pantai dan BBP Hang Tuah ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan bahagian bilik di tingkat atas rumah banglo yang berkeluasan 225 meter kaki persegi.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.26 pagi," katanya.
Katanya, mangsa melecur pada tahap pertama itu kemudian dihantar ke hospital oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.