Rekahan benteng pemecah ombak undang banjir kilat

Iklan
Mohd Yahya (kiri) menunjukkan jarak rekahan yang berlaku di benteng pemecah ombak di Kampung Tampok Laut, Benut sambil diperhatian Azmi (tiga dari kanan) dan Norlizah (dua dari kiri).

PONTIAN - Kejadian air pasang besar yang berlaku menyebabkan benteng pemecah ombak di Kampung Tampok Laut, Benut di sini merekah sejak dua minggu lalu.

Penduduk, Azmi Ahmad, 50, berkata, benteng berkenaan dibina bagi menghalang air laut mengalir masuk ke tali air sekali gus mengelak berlakunya banjir kilat di kampung itu.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya hanya berlaku rekahan kecil di benteng namun ia semakin membesar sehingga 2 meter selepas air laut masuk melaluinya.

"Sekarang ini air laut dah mula masuk ke dalam tali air yang berdekatan dengan kira-kira 20 buah rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Iklan

Azmi yang juga nelayan berkata, air pasang besar yang kerap berlaku selepas jam 10 malam menambah risiko lagi berlaku banjir kilat hingga menyebabkannya tidak lena tidur malam setiap kali memikirkan keadaan benteng berkenaan.

"Pada tahun 2013 berlaku banjir di Kampung Tampok Laut disebabkan benteng pecahmas. Ketika itu hampir seluruh kawasan kampung dinaiki air.

Iklan

"Saya masih terbayang banjir yang berlaku itu walaupun sudah lama berlalu. Oleh itu, kami harap rekahan yang berlaku di benteng berkenaan dibaiki segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norlizah Ali, 52, berkata, rekahan yang berlaku di benteng berkenaan dilihat semakin teruk dan ia perlu dibaiki segera supaya risiko berlakunya banjir kilat di kampung berkenaan dapat dielakkan.

"Dua minggu lepas, motosikal masih boleh lalu atas benteng ini lagi tapi sekarang dah tak boleh sebab rekahan sudah semakin besar,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung, Mohd Yahya Sulaiman berkata, aduan sudah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebaik sahaja rekahan dikesan di benteng sepanjang 10 kilometer itu.