GOPENG - Seorang jurupendawaian maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja penggantian tiang lampu di Kilometer 16.5 Jalan Ipoh - Kampar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Mohamad Kamil Mohamed Yusoff, 28, yang berasal dari Padang Rengas, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan lagi pekerja melakukan kerja-kerja mengganti tiang lampu sejak Selasa lalu.
"Semasa kejadian mangsa dan empat rakannya sedang memasang wayar tiang lampu elektrik di kawasan berkenaan sebelum terkena arus elektrik.
"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan rakannya yang berada berhampiran tidak sempat untuk menyelamatkannya,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan fizikal ke atas lelaki itu tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kematian mangsa.
"Mayat dibawa ke Hospital Kampar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan renjatan elektrik.
"Siasatan lanjut akan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.