Tawaran 70 peratus Kempen Harga Patut KPDNHEP

Iklan
Nazri (tengah) ketika merasmikan Kempen Harga Patut di Kuantan City Mall, hari ini.
KUANTAN - Orang ramai boleh menikmati tawaran diskaun sehingga 70 peratus di 15 kedai di Kuantan City Mall sempena Kempen Harga Patut di sini, bermula semalam hingga esok.

Exco Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kempen yang dilaksana sejak 2008 itu bertujuan mengetengahkan konsep tawaran harga berpatutan melalui jualan kedai di KCM sekali gus mengurangkan beban belanja rakyat dan merancakkan ekonomi domestik.

"Inisiatif kementerian menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan, terutama pasar raya besar adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk tangani kos sara hidup.

"Antara aktiviti menarik adalah, program kepenggunaan seperti kuiz pengguna bijak dan dam ular gergasi, cabutan bertuah serta gerai jualan Puspanita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang,” katanya pada perasmian kempen tersebut di KCM di sini, hari ini.

Pengarah KPDNHEP Datuk Mark Ujin berkata, enam kendera saji menjual terlibat dalam kempen yang menjual juadah lokal.

"Penyertaan pekedai dalam program ini membolehkan mereka membuat tawaran diskaun dari 30 hingga 70 peratus tanpa perlu memohon permit jualan akhir tahun. Meskipun kempen berakhir Ahad, pekedai masih boleh menjual harga diskaun sehingga akhir tahun.

"KPDNHEP menyediakan platform bagi tujuan mereka mempromosikan jenama dan barangan jualan secara meluas. Bagi tahun depan mereka boleh menyertainya semula dan diharapkan penyertaan kalangan pemain industri akan bertambah,” katanya.