KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook perlu benar-benar memahami isu dihadapi industri e-hailing terutama dari aspek operasi sebelum menguatkuasakan peraturan baharu industri tersebut.
Pengarah Strategik Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan berkata, semua syarikat e-hailing maklum dengan polisi tersebut yang dikatakan bakal dilaksanakan pada tahun 2016 melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini telah dibubarkan.
Begitupun, katanya, polisi yang dipersetujui pada peringkat awal telah ditukar dengan beberapa penambahan yang dilihat tidak bersesuaian dengan sifat dinamik perkhidmatan e-hailing.
"SPAD pada awalnya hanya mengenakan syarat latihan bagi pemilikan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mana kini telah ditambah dengan keperluan untuk lulus peperiksaan PSV.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab diberi 3 bulan patuhi syarat operasi
"Ini ditambah pula dengan keperluan untuk menjalani latihan selama 6 jam di Institut Latihan Pemandu yang tidak pernah dipersetujui semasa SPAD membentuk polisi e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keadaan sebegitu menyukarkan proses transisi pemandu e-hailing untuk memiliki lesen yang sah sehinggalah syarikat e-hailing berjaya melobi untuk latihan dibuat di syarikat mereka berdasarkan konsep latihan digital.
"Masalah ini tidak berhenti di sini sahaja, JPJ juga turut mengenakan syarat supaya syarikat-syarikat ini berdaftar sebagai institut latihan memandu dan perlu memenuhi kriteria kelayakan menjadi sebuah institut latihan memandu.
"Keadaan itu menyukarkan syarikat e-hailing berskala kecil untuk bersaing di dalam pasaran. Selain itu, setelah latihan dijalankan di syarikat, mereka masih perlu ke pejabat JPJ untuk peperiksaan dan lulus sebelum mendapatkan PSV,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas proses latihan dan peperiksaan selesai, mereka perlu mendapatkan kad lesen PSV di pejabat JPJ dan lesen tersebut hanya boleh diambil di pejabat JPJ negeri di mana syarikat berkenaan mendaftar.
Jelasnya, kesesakan pasti berlaku di pejabat berkenaan ketika ribuan pemandu datang untuk mendapatkan lesen.
"Ini adalah antara isu-isu operasi yang saya pasti Menteri Pengangkutan tidak langsung tahu. Belum lagi disentuh berkenaan pemeriksaan kesihatan dan lain-lain perkara seperti isu pelekat kenderaan yang lambat dikeluarkan oleh JPJ.
"Apa yang pasti, JPJ masih lagi tersekat dengan peraturan yang lapuk dan tidak mengikut keperluan semasa ditambah pula dengan proses yang rigid menjadikan proses implementasi polisi baru ini berada di ambang kegagalan,” tegasnya.
Tambah Wan Agyl yang juga bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi bagi Kumpulan Operasi SPAD, beliau sedia untuk terlibat sama dan memberi buah fikiran untuk penambahbaikan terutamanya dalam memastikan polisi tersebut dilaksanakan dengan baik.