Tetak warga emas: Polis tak tolak wujud gangguan halusinasi

Iklan
Noor Ariffin (tengah) menunjukkan senjata utama digunakan suspek untuk menikam dua mangsa di sekitar Buloh Kasap, Segamat dalam kejadian semalam.

SEGAMAT - Polis tidak menolak wujudnya gangguan halusinasi dialami seorang penoreh getah sebelum suspek bertindak mengamuk dan menetak dua lelaki warga emas hingga mati di dua lokasi berhampiran di Buloh Kasap, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 33 tahun itu tidak mempunyai masalah peribadi dengan kedua-dua mangsa sehingga mendorongnya untuk membunuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, saksi di lokasi kejadian mendakwa suspek yang memarkir motosikal jenis Honda Wave di pekarangan sebuah kopitiam di Buloh Kasap di sini telah melulu ke arah kedai dan memecahkan peralatan mengukus pau serta bertindak melibaskan parang sepanjang 45 sentimeter.

"Melihatkan kejadian itu, semua pelanggan di kedai kopi terbabit telah berpusu-pusu masuk ke dalam, namun senjata suspek mengenai seorang warga emas berusia 74 tahun.

Iklan

"Akibat libasan rambang, mangsa pertama cedera ditetak di pipi kiri hingga ke kepala, satu tikaman dada dan luka di jari kiri.

"Mangsa dikenali sebagai Ku Cheng Liong kemudiannya disahkan maut di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, dua lelaki warga emas masing-masing berumur 74 dan 60 tahun mati ditetak dengan parang di sebuah kedai makan dan gerai durian oleh seorang lelaki yang mengamuk serta membuat serangan secara rambang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua warga emas maut diserang lelaki berparang