GUA MUSANG - Isteri mangsa kemalangan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis semalam, Nor Azliana Azhar, 28, meminta orang ramai supaya memadam perkongsian video suaminya ketika kemalangan.
Nor Azliana berkata, ramai yang berkongsi video itu di media sosialnya tetapi dia tidak sanggup melihatnya.
"Arwah sudah tiada, padamlah video itu," katanya.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah ibu bapanya di Taman Agropolitan Rantau Manis.
"Mungkin arwah mahu ke sana tetapi dia tidak memberitahu saya. Saya berjanji dengannya mahu pulang ke rumah di Paloh 2 pada Sabtu (hari ini)," katanya.
Bagaimanapun, Nor Azliana reda dengan ketentuan itu namun buntu memikirkan nasib tiga anak yang masih kecil.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RPT Kesedar Paloh 2, pada jam 12 tengah hari.
Hasil perkahwinan 11 tahun, arwah mempunyai tiga anak, Nur Damia Maisarah, 11, Mohd Danny Irfan, 7 dan Nur Daliya Raisyha, 2 tahun.