PUTRAJAYA - Bayi perempuan berusia 22 bulan nyaris lemas di kolam renang sebuah kondominium di Presint 8 Putrajaya di sini pagi semalam.
Sinar Harian difahamkan, kejadian disedari pengawal keselamatan kondominium yang melihat ada objek terapung di permukaan kolam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika kejadian, bayi berkenaan dalam jagaan pihak taska di kondominium itu.
"Pihak taska membuat satu aktiviti bermain di taman permainan terbuka di luar taska.
"Tanpa disedari, bayi perempuan itu dikatakan pergi ke kolam renang yang terletak berhampiran dengan taman permainan.
"Pengawal keselamatan kondominium berkenaan ternampak mangsa terapung dalam kolam dan bertindak menyelamatkannya,” katanya kepada media hari ini.
Rosly berkata, sejurus diselamatkan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Putrajaya dan diberi rawatan kecemasan.
"Pihak hospital kemudian menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
"Setakat ini keadaan mangsa stabil dan doktor belum memaklumkan bila mangsa boleh pulang ke rumah,” katanya.
Rosly menambah, siasatan awal mendapati bayi terbabit dihantar ke taska berkenaan sejak berusia tiga bulan dan setakat ini, tiada masalah di pusat jagaan itu kerana mereka menjaga dengan baik.
Sementara itu, katanya, kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.