JAKARTA - Waris keluarga mangsa penumpang yang terkorban dalam nahas Boeing 737 Max di Indonesia pada tahun lalu mendakwa telah ditipu.
Menurut peguam mereka, kebanyakan keluarga terbabit diminta untuk menandatangani perjanjian bagi mengelakkan mereka mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas Boeing atau Lion Air.
Kesemua 189 penumpang dan kru maut apabila pesawat Lion Air terbabit terjunam ke dalam Laut Jawa kira-kira 13 minit selepas ia berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu.
Dalam tempoh beberapa minggu, waris keluarga mangsa penumpang ditawarkan pampasan oleh peguam insurans Boeing.
Merdian Agustin yang kehilangan suami, Eka dalam nahas itu berkata, dia tidak terpedaya dengan kata-kata manis peguam terbabit.
"Ia bukan hanya soal wang. Ia adalah tentang hidup suami saya," katanya yang mendakwa terdapat kira-kira 50 keluarga akur dengan syarat tersebut dan masing-masing bakal memperoleh AS$92,000 (RM378,396) seorang.
Difahamkan, bayaran pampasan itu juga agak kontroversi kerana di bawah undang-undang Indonesia setiap waris keluarga layak mendapat AS$89,260 (RM367,126) seorang.
Boeing dalam satu kenyataan enggan mengulas tentang perjanjian tersebut.
Sementara itu, peguam dari Amerika Syarikat, Sanjiv Singh yang mewakili beberapa keluarga mangsa penumpang memberitahu mereka juga dipaksa untuk menandatangani perjanjian yang menafikan hak undang-undang golongan itu. - Agensi