SEREMBAN - Sebanyak 1.5 tan durian musang king percuma habis dalam tempoh dua jam selepas diserbu orang ramai pada Pesta Musang King anjuran Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) hari ini.
Meskipun pesta berkenaan dibuka jam 11 pagi, namun seawal jam 9 pagi orang ramai sudah pun mula beratur untuk merasai raja buah berkenaan.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee berkata, program itu dianjurkan sempena kemeriahan musim durian di seluruh negara ketika ini.
"Durian dikenali sebagai raja buah dan ramai yang menganggap musang king sebagai yang terbaik.
"Begitu juga durian dari Negeri Sembilan adalah antara yang terbaik dan hari ini kita menjamu peminat durian dalam program ini,” katanya ketika ditemui pada program di Matrix Galleria, Ara Sendayan hari ini.
Beliau berkata, selain durian, buah-buahan tempatan lain seperti rambutan turut disediakan pada program yang julung kali diadakan itu.
"Kita akan adakan pesta ini sekali lagi di Residensi Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di Paroi di sini, dari jam 11 pagi hingga 3 petang pada 20 Julai ini.
"Sebagai memeriahkan program turut diadakan beberapa aktiviti seperti seni pasir, persembahan badut dan silap mata juga dianjurkan untuk menghiburkan kanak-kanak," katanya.