LANGKAWI - Cubaan tiga individu menyeludup sayuran dan buahan dari Thailand gagal apabila perbuatan itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi dalam operasi di perairan Tanjung Dendang di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, lelaki tempatan dua wanita Thailand berusia antara 48-63 tahun disyaki cuba membawa masuk sayur dan pelbagai buahan bernilai RM920 menggunakan bot dari Thailand.
"Bot peronda yang menjalankan rondaan sekitar perairan Langkawi mengesan kehadiran bot terbabit kira-kira jam 11.30 pagi semalam dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 210 kilogram (kg) pucuk sayur manis, 30kg rambutan, 30kg manggis serta dua biji durian dalam bot berkenaan yang dibawa masuk dari Thailand dengan cara tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua barang rampasan termasuk bot fiber bernilai RM12,920 dibawa ke pangkalan Polis Marin Langkawi, Bukit Malut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut.