SEMPORNA - Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), yang menyelaraskan Operasi Gasak Laut di Kepulauan Nusa 3, hari ini menahan 12 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI).
Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, PATI berumur lingkungan 11 hingga 70 tahun itu ditahan antara jam 5.30 pagi hingga 8 pagi.
"Operasi ini menyasarkan penempatan di atas pondohan (rumah) yang dibina secara haram di kepulauan itu, dan dalam operasi ini kita memeriksa 25 individu warga asing.
"Setelah tapisan keselamatan dijalankan Jabatan Imigresen, seramai 12 orang daripada 25 individu ini ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kesemua ditahan itu, menurut Hazani, akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara di Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Dalam pada itu, Hazani berkata, operasi melibatkan 104 anggota dan pegawai dari Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Imigresen itu bertujuan membersihkan pondohan haram daripada dijadikan tempat aktiviti jenayah rentas sempadan.
"Hasil daripada maklumat, kita dapati pondohan-pondohan ini disyaki menjadi tempat persembunyian dan ‘staging point’ penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah penculikan, selain penyeludupan barang kawalan di sekitar daerah ini,” katanya.
Di samping itu, katanya operasi itu dilaksanakan bagi mengesan dan menahan PATI yang disyaki terlibat dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan.- Bernama