SANDAKAN - Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober depan di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal bagi menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, untuk itu satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi mengkaji hukuman pemenjaraan terhadap kesalahan berat berkenaan.
"Ini akan melibatkan peralihan besar dalam dasar hukuman, oleh itu kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji dan membuat keputusan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Vui Keong juga berkata, pasukan petugas itu akan turut mengkaji semula hukuman penjara seumur hidup sama ada tempoh pemenjaraan dikurangkan antara 10-30 tahun bagi 11 kesalahan berat berkenaan.
Ketika ini, undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan juga kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, pada Selasa (16 Julai), kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan rakyat berumur 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.
Beliau berkata, apabila pindaan itu diluluskan, kira-kira 3.8 juta pengundi baharu termasuk rakyat berumur 18 tahun dijangka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Selain itu, beliau berkata, pada Rabu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah yang baharu kepada 60 kerusi sedia ada. - Bernama