JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bertemu dengan pesaingnya, Prabowo Subianto di stesen MRT Lebak Bulus, Jakarta Selatan pagi tadi dalam pertemuan pertama selepas Pemilihan Umum 2019 (Pemilu 2019) yang penuh kontroversi.
Kedua-duanya yang memakai kemeja T berwarna putih turut berjabat tangan sebelum menaiki pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) di laluan pertama yang mula beroperasi pada Mac lalu.
Jokowi dan Prabowo kemudiannya berbual secara privasi.
Orang ramai yang berada di kawasan sekitar melaungkan 'kami sayangkan kamu' ketika kedua-dua pemimpin itu keluar di stesen Senayan pada jam 10.50 pagi (waktu tempatan).
"Saya belum lagi sempat menaiki MRT. Jadi, terima kasih Presiden kerana membawa saya.
Saya mengucapkan tahniah kepada Jokowi sebagai Presiden.
"Jika pemimpin mempunyai komunikasi yang baik. Jadi lebih mudah untuk memberi nasihat kerana demokrasi memerlukan pemeriksaan dan imbangan," kata Prabowo ketika keluar dari gerabak kereta api terbabit.
Pengerusi Parti Gerinda tersebut menjadi calon tunggal yang mencabar Jokowi dalam Pemilu 2019 pada April lalu.
Jokowi berjaya mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua selepas memperoleh 55.5 peratus undi menewaskan Prabowo yang meraih 44.5 peratus undi.
Bekas jeneral itu bagaimanapun beberapa kali mendakwa kemenangan berpihak kepada beliau dan turut mencabar keputusan akhir di Mahkamah Perlembagaan, namun ditolak hakim.
Banyak pihak bimbang polarisasi ketika pilihan raya akan bertambah buruk berikutan Prabowo didakwa mengelak untuk bertemu atau mengucapkan tahniah atas kemenangan lawannya.
"Selepas bersaing dalam Pemilu 2019, Alhamdulillah, kami bertemu lagi," ujar Jokowi dalam satu kenyataan.
Kedua-duanya kemudian menjamu selera di Sate Khas Senayan, sebuah restoran popular di pusat beli-belah berhampiran. - Jakarta Post