NIBONG TEBAL - Kerajaan meminta rakyat memberikan sedikit masa untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sistem subsidi petrol secara bersasar terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.
Menterinya Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun pelaksanaannya tidak mengikut sasaran pada suku kedua tahun ini seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, namun pihaknya optimis sistem subsidi petrol bersasar itu dapat dilaksanakan tahun ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya mengadakan banyak pertemuan dengan pemegang taruh seperti syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, persatuan pengguna, Bank Negara, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sekretariat yang membina data penerima untuk mencari mekanisme terbaik bagi pelaksanaan sistem terbaharu itu.
"Kami mengambil masa dua suku pertama ini kami penuhkan begitu dan sekarang kami telah pun berjaya siapkannya, tapi prosesnya harus dengan izin ataupun perkenan daripada jemaah menteri. Kami kini sedang menyiapkan kertas jemaah menteri yang merupakan kertas bersama antara KPDNHEP dan Kementerian Kewangan.
"Sekarang kita dah masuk minggu kedua bulan Julai. Saya optimis kita boleh bentangkan (kertas jemaah menteri) dalam bulan ini juga. Bila kita dah selesaikan yang itu dan kita boleh umumkan. Sabar, insyaAllah kita akan umumkan," katanya selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum di BH Petrol Jawi, di sini hari ini.
Rakyat Malaysia dianggar menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi, manakala selebihnya RON97.
Pada Februari lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.
Saifuddin berkata, kertas jemaah menteri itu merangkumi semua perancangan dan mekanisme pelaksaan sistem subsidi petrol secara bersasar itu termasuk garis masa dan jumlah penerima yang diterangkan secara terperinci.
Beliau berkata, buat masa ini semuanya berjalan lancar dan pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah dalam penyediaan kertas jemaah menteri itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap pengendalian bahan-bahan petrol dan keselamatan di stesen minyak semakin meningkat selepas pelaksanaan kempen berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kepada jumlah kemalangan di stesen minyak yang masih berada pada tahap rendah.
"Tapi itu bukan bermakna kita boleh berpeluk tubuh, ini adalah usaha berterusan. Kita tidak boleh ambil sikap sudah terhantuk baru terngadah, dah kena baru kita nak kesal. Jadi, sekarang kita usahakan dari awal," katanya.- Bernama