IPOH - Kehangatan gerakan ‘bossku’ mula ditunjukkan dengan kehadiran ribuan rakyat yang bersesak untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Gerbang Malam, malam ini.
Najib berkata, gerakan itu menjadikan rakyat lebih bersemangat untuk bersamanya sekaligus berjaya menyelami aspirasi dan permasalahan dalam kalangan masyarakat.
"Tapi malam ini rakyat paling agresif sekali. Pembantu-pembantu saya menjadi penyelamat hinggakan Datuk Saarani (Pengerusi UMNO Perak) pun tidak boleh dekat dengan saya.
"Tetapi ini menunjukkan saudara-saudara cukup bersemangat untuk bersama-sama dengan gerakan 'bossku' ini,” katanya ketika berucap pada program Moh Bersama Bossku di sebuah restoran di Jalan Sultan Idris Shah, di sini.
Menurutnya, ‘bossku’ melambangkan cita-cita, idealisme dan aspirasi rakyat khususnya anak muda yang inginkan perubahan yang lebih baik.
"Saya mahu terangkan bahawa ‘bossku’ ini adalah rakyat, bukan saya. Saya buat cara ini untuk tahu apa permasalahan, denyut nadi serta aspirasi rakyat dan saya dapat buat kesimpulan bahawa tuan-tuan sekalian barangkali rindu zaman saya.
"Malam ini juga bukanlah malam untuk bercakap tentang politik tetapi untuk kita sambut gerakan 'bossku'. Kita boleh melakukan perubahan ke arah yang lebih baik lagi," katanya.
Terdahulu, Najib yang tiba di Gerbang Malam pada jam 9.15 malam untuk meluangkan masa meninjau peniaga-peniaga bersama ribuan pengunjung.
Pada program itu, rakyat berpeluang untuk berswafoto sambil melaungkan 'bossku' dan 'bukan beshe-beshe' serta menandatangani pelbagai cenderahati antaranya topi, mainan, wang tunai dan telefon bimbit.