SHAH ALAM - Setiap kali tibanya musim cuti persekolahan, pasti undangan menghadiri kenduri baik dari keluarga, sanak-saudara serta sahabat tidak putus-putus menjengah kehidupan anda.
Bagi tuan rumah, doa acap kali dititipkan, memohon agar kenduri berjalan lancar, tetamu yang diundang dapat menghadirkan diri dan paling penting, walimatul urus mereka diberkati dan mengikut syariat Islam.
Dalam teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini, khatib mengingatkan agar majlis walimah terpelihara daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak.
"Antaranya dinyatakan sebagai contoh, pengantin dan keluarga tidak menutup aurat dengan sempurna dan memakai pakaian yang jarang, ketat dan terbelah. Kedua, bersolek berlebihan seperti mencukur kening dan mengenakan wangian yang berlebihan.
"Ketiga, bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Keempat, keterlaluan dalam mengambil makanan. Kelima, nyanyian dan muzik yang tidak mematuhi hukum syarak dari segi seni kata dan penyampaian.
"Keenam, meninggalkan solat kerana terlalu sibuk dan lalai dengan majlis walimah,” memetik teks khutbah berkenaan.
Khutbah tersebut turut menjelaskan hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib sebagaimana diriwayatkan dalam beberapa hadis.
Begitupun, kewajipan menghadiri undangan ke majlis walimah boleh gugur sekiranya ada pelanggaran hukum syarak.
"Ia gugur apabila dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak) dan lain-lain yang memabukkan.
"Ia juga gugur apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir,” menurut khutbah itu.