JOHOR BAHRU - Sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak tujuh kemalangan maut di tapak pembinaan dilaporkan di negeri ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKPP) negeri, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, jumlah berkenaan menurun berbanding 16 kematian dicatatkan pada tempoh sama pada tahun lalu.
"Pada tahun lalu, JKKP Johor telah menjalankan 514 pemeriksaan di tapak bina.
"Daripada jumlah tersebut, JKKP Johor telah mengeluarkan 473 notis pembaikan, 437 notis larangan (pemberhentian kerja) dan 486 surat arahan.
"Manakala, sebanyak 189 kes telah dikenakan kompaun sebanyak RM352,000 serta 30 kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM209,500 atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dasuki berkata, JKKP negeri akan menjalankan operasi penguatkuasaan dengan mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan di seluruh Johor bermula hari ini hingga 18 Julai ini.
"Operasi yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk memastikan tahap pematuhan majikan atau kontraktor terhadap undang-undang yang tertakluk dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan), 1986.
"Operasi ini lebih memfokuskan kepada tapak bina yang melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja mengangkat (lifting) di kawasan pembinaan.
"Operasi ini dijalankan di seluruh negeri Johor yang melibatkan anggaran 50 tapak bina yang akan diperiksa," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan dan menggesa semua pihak yang terlibat dalam industri pembinaan agar menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan dan kawasan berhampiran selamat.
"Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum para pekerja menjalankan kerja.
"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja sepanjang tempoh kerja tersebut," katanya.