SELANGOR ternyata berada dalam kelas tersendiri selepas mempertahankan gelaran juara Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2018 dengan mendominasi kategori lelaki dan perempuan pada hari terakhir kejohanan, hari ini.
Pusingan akhir yang menggunakan format berpasukan menyaksikan Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-2 dalam kategori lelaki diikuti kejayaan 3-1 skuad wanita yang turut menundukkan Pulau Pinang.
Selangor memperoleh mata pertama menerusi Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang mudah mengatasi Teh Jin Hong 21-18 dan 21-10 sebelum Pulau Pinang bangkit mengutip dua mata masing-masing menerusi gandingan Goh Boon Zhe-Tan Yi Han dan Low Eu Cong.
Boon Zhe-Yi Han menang ke atas Mohd Nor Firdaus Azman-Khew Han Yang 16-21, 21-19 dan 19-21 manakala Eu Cong mudah mengatasi Han Yang 21-6 dan 21-8.
Selangor kemudian menyamakan kedudukan mata selepas Jimmy Wong-Muhammad Zulhairi mengalahkan pasangan Chee Yik Shen-Ooi Yi Yong 18-21, 21-15 dan 21-18.
Pemain perseorangan, Chua Jin Yang muncul wira Selangor selepas menghadiahkan mata kemenangan selepas menewaskan Goi Zi Chyan 21-13 dan 21-12 sekali gus mengesahkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.
Sementara itu, dalam saingan kategori perempuan pula menyaksikan Selangor bangkit daripada ketinggalan 1-0 selepas R.Kasturi tewas 12-21 dan 17-21 kepada Tan Zhing Yi dalam aksi pembukaan.
Gandingan V.Dharshinie-Loh Zhi Wei terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengatasi Lim Sze Jin-Tan Xin Zon 21-10, 20-22 dan 21-16 untuk memberikan mata pertama kepada Selangor.
Giliran Selangor mendahului 2-1 menerusi kemenangan K.Letshaanaa 21-5 dan 21-6 ke atas Gan Wan Yan sebelum pasangan Lai Zi Ying-Teh Won Quin memberikan mata kemenangan dengan menewaskan Tan Mei Xin-Teh Yi Young 21-19 dan 21-5.
Sebagai juara, Selangor membawa pulang hadiah wang berjumlah RM20,000 sementara Pulau Pinang dengan hadiah kemenangan berjumlah RM15,000.
Bercakap kepada pemberita, ketua jurulatih Selangor, Danan Jaya berkata kerja keras sepanjang kejohanan dan fokus untuk menampilkan aksi terbaik tanpa memikirkan soal kemenangan adalah kunci kejayaan pasukan.
"Kita memang sudah jangka akan menerima saingan sengit sebab itu kita melakukan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan. Kita juga tekankan kepada pemain supaya tidak terlalu berharap tetapi perlu berusaha sekiranya mereka mahu menjadi juara,” katanya. - Bernama