SUNGAI PETANI - Pengurus syarikat dan pemandu didenda RM1,500 setiap seorang kerana telah mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengusaha kilang awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Lye Seng, 49, dan R Arasakumaran, 42, mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Un Chorng Von, 51, pada 2 Julai lalu jam 4.15 petang.
Perbuatan itu dilakukan bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di pejabat kilang tertuduh di Kawasan Perusahaan Sungai Petani yang terletak berhadapan kilang mangsa.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dipanggil tertuduh ke pejabat bagi membincangkan satu perkara sebelum berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa dipukul.
Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami lebam di muka dan badan.
Tertuduh berdepan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.
Majistret Arif memerintahkan kedua-dua tertuduh didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah juga mengarahkan kedua-duanya membayar pampasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa atau dikenakan sebulan penjara jika gagal berbuka demikian.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru pengawal keselamatan bantu kes pukul