JERANTUT- Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jerantut akan melakukan siasatan terperinci berhubung penularan klip video yang melibatkan sekumpulan jemaah yang didakwa mengamalkan zikir pelik di daerah itu sejak semalam.
Sebuah video berdurasi seminit, 12 saat dan dua lagi berdurasi 22 saat dilaporkan tular di media sosial itu didakwa berlaku di sebuah surau di Ulu Tembeling di sini pada 11 Julai lalu.
Klip tersebut menyaksikan beberapa jemaah lelaki dan wanita seakan-akan sedang berzikir sambil berdiri dan mengangguk di dalam sebuah surau di kampung terbabit.
Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa'ad, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.
"Buat masa ini siasatan sedang dijalankan dan satu pertemuan bersama pihak yang terlibat dalam klip video itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
"Pihak PAID Jerantut akan menemui beberapa pihak untuk mendapatkan keterangan dalam membantu proses siasatan. Proses yang melibatkan unit Penguatkuasaan dan Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan dilaksanakan secara terperinci sebelum dilanjutkan ke Jabatan Mufti untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Badarddin memberitahu, pihaknya menyerahkan siasatan selanjutnya kepada pihak berkuasa.
"Jika benar berlaku ada unsur-unsur menyimpang daripada agama Islam, kita minta satu tindakan dikenakan kepada mereka," katanya lagi mengetahui perkara itu pada Jumaat lalu.