SEMPORNA - Dua persatuan hari ini meminta pihak pengurusan Jeti Pelancongan serta Pusat Informasi Semporna di sini, digesa menutup pintu kepada pengusaha pelancongan tidak berlesen dari membawa pelancong secara haram ke destinasi pulau peranginan serta aktiviti selaman.
Persatuan Pengusaha Pelancongan Syarikat Tempatan Bumiputera Semporna dan Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) yang beranggapan perkara itu selari dengan usahan kerajaan dalam membanteras aktiviti pelancongan tidak berlesen.
Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Syarikat Tempatan Bumiputera Semporna, Kerino Jalani berkata perkara itu dibangkitkan bagi mengelakkan industri pelancongan daerah ini terus terjejas dengan insiden tidak diingini berlaku misalnya bot milik syarikat pelancongan tidak berlesen terbakar dan menyebabkan beberapa pelancong domestik melecur di bahagian kaki.
"Kami telah dijemput di dalam satu taklimat awal tahun oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Sabah, yang turut dihadiri Pejabat Daerah Semporna, Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa.
"Pada taklimat itu, satu keputusan diambil iaitu pihak pengurusan Jeti Pelancongan tidak dibenarkan menerima pengusaha pelancongan yang tidak berlesen, akan tetapi sehingga kini arahan itu seolah-olah diabaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kerino berkata sekiranya keputusan itu dipatuhi, kemungkinan besar insiden tidak diingini yang berlaku sebelum ini dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya risiko dapat diminimumkan.
Sementara itu, Pengerusi SPDA, Abdul Razak Ismail berkata tindakan syarikat pelancongan tidak berlesen mengambil jurupandu selam juga tidak berlesen boleh menyulitkan keadaan termasuk masalah keselamatan pelancong.
"Kita boleh kehilangan pelancong luar negara khususnya China jika insiden seperti keselamatan pelancong tidak terjaga," katanya.
Di samping itu, Abdul Razak berkata, kewujudan pengusaha tidak bertanggungjawab itu juga menyebabkan berlakunya persaingan harga pakej yang tidak sihat.
"Dengan bayaran gaji serendah RM20 sehari, syarikat pelancongan tidak berlesen dapat beroperasi dengan murah dan gejala"buang harga" berlaku," katanya lagi.
Kerino dan Abdul Razak senada khuatir sekiranya perkara itu tidak ditangani segera boleh meninggalkan kesan negatif kepada industri pelancongan daerah dan Sabah amnya. - Bernama