Tiada baju baharu teruskan persekolahan

Iklan
Tahir kiri manakala ahli BBM dua kiri mengukur baju sekolah di badan Nur Fatin.

BALING - Tiada pakaian baharu yang boleh dipakai seorang pelajar dari Kampung Bok Bak, di sini untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula kurang dua minggu lagi.

Keadaan itu berikutan kekangan kewangan dihadapi keluarga Nur Fatin Syafika Hamid, 16, hingga tidak mampu menyediakan kelengkapan untuk dirinya yang bakal meneruskan pembelaaran dalam tingkatan 5 Januari ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, keprihatinan Briged Bakti Malaysia (BBM) cawangan Kedah membawa keceriaan kepada remaja itu.

NGO itu tampil membantu Nur Fatin bersama 23 murid kurang berkemampuan lain dengan membeli pakaian dan kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Iklan

Menurutnya, dia terpaksa berhenti sekolah pada pertengahan tahun lalu kerana mengalami sakit tulang belakang.

"Daripada tingkatan satu sampai tingkatan tiga saya dilantik sebagai pengawas dan perubahan berat badan menyebabkan pakaian sekolah sebelum ini tak boleh dipakai.

Iklan

"Pakaian lama dah tak muat dan disedekahkan kepada orang lain," katanya.

Nur Fatin berkata, bapanya Hamid Ahmad, 58, tidak bekerja akibat strok beberapa tahun lalu, manakala ibunya, Che Fatimah Dollah, 55, bergantung kepada upah menoreh getah.

Sementara itu, Che Fatimah berkata, Nur Fatin juga anak bongsu daripada tujuh beradik itu satu-satu anaknya yang masih bersekolah.

"Perbelanjaan keluarga dibantu anak ketiga dan keempat yang bekerja di sebuah pasar raya dan bengkel. Kalau campur keduanya, adalah RM400.

"Tapi duit banyak tu tak cukup untuk beli kelengkapan sekolah. Dengan duit pemberian anak juga mak cik guna beli barangan keperluan dapur, bayar bil dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, anak kelima yang berusia 24 tahun tidak bekerja kerana menghidap kanser.

"Anak perempuan sulung dan kedua dah kahwin tapi tak bekerja. Mereka urus keluarga dan bergantung dengan suami yang bekerja menoreh.

"Anak keenam pula tak ada pendapatan tetap buat waktu ini. Makcik ucap terima kasih kepada BBM dan semua pihak yang sudi bantu kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi BBM cawangan Kedah, Md Tahir Saad berkata, pihaknya berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling bagi membantu Nur Fatin menyambung persekolahan.

"Adik ini dijangka memulakan persekolahan kembali pada minggu kedua Januari," katanya.

Beliau berkata, hasil sumbangan orang ramai, BBM dapat membantu 48 pelajar termasuk dalam daerah Sik membeli pakaian sekolah baharu.

"Program hari ini ialah kesinambungan program semalam membabitkan 24 murid daripada golongan asnaf di Sik membeli pakain dan kelengkapan sekolah.

"Mereka dibawa ke pasar raya dan diberi pilihan untuk memilih apa saja barangan berdasarkan tunai yang disediakan untuk setiap seorang," katanya.

Pada yang ingin membantu adik Nur Fatin Syafikah boleh hubungi: 0195099102 atau pengerusi BBM Kedah 016-2125574 untuk koordinasi bantuan.