SEREMBAN - Keluarga kanak-kanak lelaki yang cedera parah dihempap peti ais masih hairan bagaimana peralatan elektrik itu boleh tumbang di rumah mereka di Taman Cempaka.
Bapa mangsa, Mohd Bukhari Zainal Annuar, 33, berkata, anaknya, Muhammad Fawwaz Adli, 5, berada di rumah bersama isterinya serta dua lagi anak lelaki berusia 2 bulan dan 3 tahun.
"Saya sedang mesyuarat parti Amanah di Rasah sebelum isteri telefon kira-kira jam 11.15 malam beritahu kepala anak berlumuran darah mungkin dihempap peti ais.
"Isteri minta bantuan jiran untuk bawa mereka hingga ke Labu dan dari situ saya mengambilnya untuk dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, sepanjang perjalanan, keadaan anaknya itu lemah dan sebaik sampai di hospital muka anaknya bertukar biru.
"Isterinya beritahu kejadian disedari berlaku selepas terdengar bunyi dentuman kuat dan disusuli teriakan anaknya menangis. Kejadian itu berlaku sekelip mata dan ketika itu isteri dan dua lagi anak sedang menonton televisyen.
"Apabila isteri menoleh dia melihat peti ais yang diletakkan di satu sudut ruang tamu sudah tumbang dan Muhammad Fawwaz Adli terbaring di sebelah peti ais itu dengan keadaan kepalanya berlumuran darah," katanya.
Mohd Bukhari yang juga Ahli Jawatankuasa parti Amanah Negeri Sembilan berkata, pada awalnya isterinya menganggap anaknya itu dihempap peti ais namun apabila melihat dia terbaring di bahagian tepi berkemungkinan kepalanya terkena bucu peti ais.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak lelaki lima tahun parah dihempap peti sejuk
"Sampai sekarang saya tak boleh nak fikir macam mana peti ais setinggi 1.8 meter yang baru dibeli lapan bulan itu boleh tumbang sehingga mengakibatkan anak saya cedera.
"Peti ais itu memang besar dan saya beli untuk letak barang berniaga. Pernah dia cuba masuk dalam itu, tapi bila saya nampak, saya akan marah," katanya.
Menurutnya, dia mengesyaki anaknya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) itu memanjat pintu kaca peti ais terbabit yang menyebabkannya tumbang.
"Dia masih tidak sedarkan diri dan saya harap orang ramai boleh tolong doa kesembuhan anak sulung saya ini," katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, Muhammad Fawwaz Adli dijangka menjalani pembedahan untuk membuang pendarahan pada bahagian kepalanya.
"Pihak hospital beritahu keadaan Muhammad Fawwaz Adli tidak terlalu serius," katanya kepada media selepas melawat kanak-kanak itu di HTJ di sini.