KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan tujuh lelaki termasuk empat yang baru selesai mengambil bekalan dadah di Rantau Panjang dengan nilai rampasan hampir RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah, di sini kelmarin.
Dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas 18,500 biji pil kuda, 150 biji erimin 5 serta 55.3 gram (g) syabu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tanah Merah pada jam 9.30 malam membabitkan tiga lelaki tempatan berusia 28, 26 dan 25 tahun termasuk seorang remaja warga Thailand berusia 19 tahun.
Menurutnya, hasil pemerhatian, polis mengekori kereta jenis Proton Putra dinaiki suspek dan menghalang dengan merempuh depan serta belakang kenderaan itu sebelum mereka keluar untuk melarikan diri.
"Mereka bagaimanapun dapat ditahan dan pemeriksaan menjumpai beg galas di dalam kereta di dalamnya mengandungi 60 peket plastik biru berisi 12,000 pil kuda bernilai RM120,000.
"Siasatan awal mendapati mereka baru sahaja mengambil bekalan dari seorang lelaki yang berasal dari Sungai Golok di kawasan Kampung Tasek Rantau Panjang dipercayai untuk diedarkan kepada pembekal kecil di sekitar Tanah Merah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan sepasukan pegawai dan anggota BSJN Pasir Mas pada jam 10.45 malam dan menahan seorang lelaki bermotosikal di tepi Jalan Kampung Bechah Palas, Bunut Susu, Pasir Mas.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 33 tahun ini menemui sekotak rokok dalam seluar jeans dan satu beg galas berisi 1,300 biji dipercayai pil kuda bernilai RM13,000.
Suspek didapati positif methamphetamine dan ditahan reman enam hari sehingga 18 Julai ini bagi membantu siasatan selain motosikal Honda Ex5 yang digunakan turut disita.
Sementara pada serbuan ketiga beliau berkata, dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan di sini pada jam 11.50 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Kelantan dan pemeriksaan dalam sebuah bilik menemui tiga kotak, satu tin biskut serta satu sampul duit kertas mengandungi 5,200 pil kuda, 55.3 g syabu serta 150 biji pil erimin 5 bernilai RM62,095 kesemuanya dirampas.
"Satu motosikal jenis Yamaha Ego S bernilai RM3,000 disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Katanya, enam lagi suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.