KUALA LUMPUR - UMNO tidak akan sewenang-wenangnya memecat ahlinya hanya kerana mereka lantang mengkritik kepimpinan parti secara terbuka.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO mengamalkan sikap terbuka dan ahli bebas untuk menyuarakan pendapat.
"Sebelum ini ramai yang komen pasal Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun sebelum dia bercuti dan selepas dia balik bercuti. Kita tak pernah buang orang pun atas alasan itu.
"Ahli kita tak ditutup mulut untuk bercakap tapi kalau sampai tahap yang terlalu lebih, mungkin Jawatankuasa Disiplin akan panggil tapi setakat ini tiada.
"Kalau komen kepada pemimpin, saya rasa itu perkara biasa dalam UMNO. Zaman pemimpin dulu pun ramai juga yang komen kepada pemimpin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Lembah Pantai, di sini petang tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Perak pagi tadi.
Dalam kenyataannya, beliau mencabar pucuk pimpinan parti itu memecatnya jika kurang senang dengan kritikannya berhubung pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).
Tegas bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, beliau tidak gentar kerana tidak menyerang presiden dan menyatakan kritikannya itu kerana beliau sayangkan parti.
Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan sebelum ini juga ada desakan meminta Najib tidak turun membantu kempen pilihan raya kecil kerana risau UMNO kalah namun tiada tindakan diambil kepada mereka yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Bagi kita, anda ada pendapat peribadi. Ramai yang sokong pelantikan Najib dan ada yang tak setuju tapi yang penting perkara itu diteruskan maknanya Najib tak berhenti disebabkan komen-komen itu.
"Setakat ini dua orang saja. Kalau majoriti cakap perkara sama mungkin berbeza kesannya tapi kalau setakat satu dua, kita hormat pandangan mereka,” ujarnya.