PENGACARA dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad memohon maaf di atas keterlanjuran perbuatannya yang mencampak tanjak dipakai ke atas pentas ketika mengendalikan program Muzikal Lawak Superstar (MLS), Jumaat lalu.
Jelas Nabil yang memuat naik video penjelasan menerusi akaun Instagramnya, dia tidak mempunyai niat untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu terutama menerusi pemakaian busana Melayu.
"Assalamualaikum, saya Nabil Ahmad. Saya nak buat permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjuran saya malam tadi di atas pentas Muzikal Lawak Superstar.
"Tidak menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita terutama sekali tanjak yang saya pakai dan saya telah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga pengabdi budaya.
"Saya ingin memohon maaf dan memohon ampun kepada semua yang mana terguris hati dan perasaan atas keterlanjuran saya.
"Saya harap permohonan maaf saya ini dapat diterima oleh semua. Insya-Allah,” jelasnya dalam video berdurasi lebih kurang 40 saat itu.
Tambahnya menerusi penjelasan pada bahagian kapsyen, selebriti berusia 36 tahun ini mengakui kejadian tersebut telah memberi pengajaran kepadanya.
"Saya manusia yang banyak melakukan kekhilafan dan saya harap permohonan maaf saya ini dapat memberi pengajaran pada saya.
"Hal ini betul-betul memperingatkan saya pada maruah budaya khemahkotaan bangsa Melayu kita.
"Saya secara peribadi (berasa) amat malu dengan perbuatan saya malam tadi," tulisnya beserta tanda pagar maafkan saya.
Beberapa jam selepa berakhir program MLS, Nabil telah diteugr dari Balai Adat Tok Cindai yang mewakili seluruh pengamal dan pendiri budaya bangsa.
Tok Cindai menyofatkan tindakan Nabil yang sengaja mencampak tanjak ke lantai membawa erti menjatuhkan maruah keseluruhan bangsa Melayu kerana tanjak adalah pemakaian yang paling teratas dalam adat Melayu.
Oleh itu, pihaknya menuntut Nabil untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjurannya itu.
Sementara itu dalam posting berasingan, Nabil turut berkongsi paparan skrin perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dari lelaki dikenali dengan panggilan Tok Cindai yang sudah memaafkan Nabil.
"Alhamdulillah, saya memang terkesan dengan cara Tok Cindai memberi teguran dan nasihat kepada saya, terharu dan sedih bila diperingatkan tentang adat serta budaya tetapi dengan cara yang cukup halus.
"Alhamdulillah masih ramai yang sayang dan menjaga," katanya.