Jiran bantu padamkan kebakaran rumah

Iklan
Keadaan salah satu bilik yang musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Paya Rumput Indah pagi tadi. - Gambar kecil: Zazlina Tahirrudin

MELAKA TENGAH - Tindakan pantas beberapa jiran memadam api berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terus terbakar dan merebak ke rumah bersebelahan dalam kejadian di Taman Paya Rumput Indah di sini pagi tadi.

Saksi, Mohd Zaidi Yaacob, 40, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia sedang membaiki lampu keretanya sebelum anak sulungnya memberitahu rumah jiran terbakar.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya sangka anak bergurau tetapi selepas tengok ke arah rumah yang hanya selang dua pintu, ada kepulan asap dari bumbung rumah.

"Kami jiran tidak fikir lain cuma bimbang ada anak kecil yang terperangkap menyebabkan seorang daripada jiran bertindak merempuh pintu rumah dan beberapa lagi bertindak membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.

Iklan

"Mujurlah tiada sesiapa di dalam rumah malah dua anak pemilik rumah yang berada di dalam rumah sudah keluar selamatkan diri. Saya juga yang terus hubungi bomba," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah, Zazlina Tahirrudin, 40, berkata, semasa kejadian dia bersama anak bongsu berusia 6 tahun baru keluar kira-kira 15 minit untuk mengambil anak kedua berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2.

Iklan

"Sebelum keluar dan tinggalkan dua anak perempuan berusia 7 dan 13 tahun, saya sudah pastikan rumah dalam keadaan selamat dan padam lampu di dalam bilik tengah serta dapur.

"Memang terkejut jiran telefon beritahu rumah terbakar dan saya terus balik ke rumah sebab bimbang keadaan anak. Anak sulung beritahu dia sedang tengok televisyen di ruang tamu bergegas keluar selepas tengok asap manakala adiknya berada diluar bermain," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bersama lima anggota bergegas ke lokasi.

"Ketika bomba tiba api sudah berjaya dipadamkan oleh orang awam dan dilaporkan tiada mangsa. Kebakaran dikatakan berpunca daripada bilik menyebabkan musnah keseluruhannya ruang itu dan bahagian rumah mengakibatkan kerosakan 80 peratus.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan forensik bomba," katanya.