'Nak buang saya, buanglah'

Iklan
Khairy (kanan) dan Mohamed Nazri pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas 2019 di Sauk, di sini hari ini.

KUALA KANGSAR - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar pucuk pimpinan UMNO memecat beliau sekiranya tidak berpuas dengan kritikannya berhubung pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Mohamed Nazri bagaimanapun mengingatkan, sekiranya dia dipecat ia akan mengulangi peristiwa hitam dalam parti berikutan pemecatan beberapa pemimpin UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, pemecatan pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara punca kekalahan parti tersebut pada PRU14.

"Saya tak gentar. Kalau nak buang saya, buanglah. Saya tak pernah serang Presiden pun. Kalau berani buanglah saya, saya cabar. Namun tinggalkan UMNO, no way.

Iklan

"Kalau nak hukum saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) kerana kami sayangkan parti, hukumlah. Nak tengok jadi macam dulu apabila buang Shafie, buang Muhyiddin. Kita ingat mereka tiada pengaruh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Kem PLKN Kota Lama, Sauk, di sini hari ini.

Mohamed Nazri menegaskan, walau apa pun yang berlaku terhadapnya, beliau akan terus mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan pelantikan Najib.

Iklan