Umat Islam dilarang sambut Hari Natal

Iklan
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU - Umat Islam diingatkan supaya tidak menyambut Hari Natal atau Krismas esok kerana ia adalah hari kebesaran penganut agama Kristian yang bertentangan dengan akidah Islam.

Adun Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sambutan Hari Natal melibatkan perbuatan yang mensyirikkan ALLAH dengan mendakwa kononnya Nabi Isa AS adalah anak Tuhan yang jelas bertentangan dengan tiga sifat ketuhanan.

Iklan
Iklan

"Sambutan Hari Natal mempunyai unsur-unsur syirik sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mendakwa Tuhan ada anak, sedangkan ia bertentangan dengan pegangan kita dalam Islam.

"Mereka (penganut Kristian) menyambut Hari Raya Krismas dengan memasukkan unsur-unsur ini dan mereka mendakwa Nabi Isa sebagai anak tuhan,” katanya ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Kampung Padang Gelong Bilal di sini.

Iklan

Mengulas lanjut, katanya, ada ulama berpendapat, hari kebesaran agama lain yang tidak melibatkan pegangan akidah, hanya melibatkan budaya boleh diraikan.

"Hari kebesaran bukan Islam tidak boleh diraikan oleh orang Islam kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan agama yang salah, sebaliknya ia diizinkan jika hanya melibatkan perbezaan budaya.

Iklan

"Sebagai contoh, perayaan Tahun Baru Cina, ia adalah budaya bukan agama tapi yang melibatkan agama, contohnya Hari Deepavali, kita tidak boleh sambut,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, ada juga pandangan mengatakan bahawa perayaan itu boleh diraikan oleh orang tertentu namun terhad.

"Lain keadaan sekiranya ada jiran kita beragama Kristian, boleh ucap sebagai tanda menghormati mereka.

"Namun, tidak boleh suka-suka untuk ucap kepada mereka melalui status yang ditulis secara umum contoh di laman sosial Facebook, ia seolah-olah menunjukkan keredhaan kepada agama mereka.

"Ada ulama berkata, sebagai meraikan masyarakat majmuk, diizinkan kepada orang-orang tertentu sahaja, namun dalam ruang lingkup yang terhad yang tidak digambarkan melalui perbuatan dan pemakaian kita,” katanya.