KUALA TERENGGANU - Seorang duda ditahan selepas menyimpan dadah di dalam kotak aluminium berpenutup dan menyembunyikannya di bawah talam di hadapan rumahnya di Kampung Sekayu, Kuala Berang di sini.
Lelaki berusia 33 tahun itu terpaksa menunjukkan tempat persembunyian dadah itu selepas takut dengan amaran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu ketika serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi.
Menurut sumber, suspek pada mulanya yang terkejut bertindak cuba untuk melarikan diri namun gagal selepas kawasan tersebut dikepung dan pemeriksaan di seluruh rumah serta ke atas tubuh badan suspek tidak menemukan apa-apa barang salah.
"Anggota masih curiga dengan tindak tanduk suspek kemudian membacakan kata-kata amaran di bawah Seksyen 37B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada suspek dan suspek yang takut terus mengaku ada menyimpan barang salah.
"Dia kemudian membawa anggota ke tempat membakar sampah di hadapan rumah dan menunjukkan satu kotak aluminium berpenutup yang disembunyikan di bawah talam aluminium warna putih," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, di dalam kotak itu mengandungi empat botol plastik lut sinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan kesemua dadah dianggarkan seberat 18.16 gram itu dirampas.
Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad membenarkan perintah tahanan reman terhadap lelaki itu selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.