PULAU Pinang berpesta gol di laman sendiri apabila berjaya menundukkan Sarawak 6-3 dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.
Lebih manis apabila Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut hadir menyaksikan perlawanan itu.
Corak permainan anak didik kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid pada babak pertama itu mempamerkan aksi agresif apabila berjaya menerjah gawang pasukan lawan menerusi rembatan pemain tengahnya, Mohamad Al Hafiz Harun, pada minit kelima.
Bagaikan terkejut, pasukan Sarawak terus terjerut apabila penyerang Harimau Kumbang berjaya menambah dua lagi gol menerusi jaringan Sergio Fabian Ezequeil Aguero dan Anselmo Arruda Da Silva masing-masing pada minit kelapan dan minit ke-14.
Skuad Harimau Kumbang terus mempamerkan aksi cemerlang di hadapan 4,569 penonton di stadium itu apabila berjaya membolosi pertahanan lawan pada minit ke-27 dan minit ke-32 menerusi jaringan Mohamad Al Hafiz dan Sergio Fabian.
Separuh babak kedua menyaksikan skuad Sarawak berhempas pulas untuk mempertahankan gawang, namun gagal apabila penyerang skuad tuan rumah Julian Bottaro menjaringkan gol keenam pasukan pada minit ke-52.
Pada minit ke-65, pasukan Sawarak hanya berjaya menjaringkan gol sulung mereka menerusi rembatan penyerangnya Bobby Gonzales diikuti gol kedua hasil rembatan pemain tengah Mohamad Alif Hassan pada minit ke-74.
Seakan bangkit, pasukan lawan berjaya menambah gol menerusi jaringan Bobby pada minit ke-80.
Kemenangan malam ini berjaya meletakkan Pulau Pinang di tangga keenam dalam carta Liga Premier 2019 dengan kutipan sebanyak 27 mata.
Kedudukan mata enam berbalas tiga kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.- Bernama