KUANTAN - Pelanggan tidak kisah untuk bayar berganda asalkan dapat menikmati isi durian yang kuning keemasan dan enak rasanya.
Walaupun jauh beza harganya dengan durian kampung, permintaan terhadap durian gred A seperti ioi dan udang merah mendapat sambutan menggalakkan.
Peniaga, Nurul Syahira Mad Rahim, 24, berkata, durian kampung yang harganya murah dan ada yang dijual secara Longgok kurang mendapat perhatian.
Menurutnya, penggemar durian sanggup membayar mahal semasa-mata untuk menikmati raja buah gred A dan bekalan yang diperolehnya dari Johor itu.
"Di sini gred paling baik yang ada ialah ioi dan udang merah. Dijual dengan harga RM15 sekilogram tetapi orang ramai langsung tidak kisah dengan harganya asalkan mereka puas hati.
"Durian kampung dijual dengan harga RM 8 sekilogram dan ada yang lebih murah secara longgok tetapi tidak ramai yang tertarik," katanya.
Nurul Syahira berkata, pelanggan tidak perlu risau atau merungut sekiranya durian yang dibeli tidak elok atau buruk isinya kerana mereka boleh menukarnya.
"Tidak timbul isu rungut pelanggan tertipu kerana kalau di gerai ini kami buktikan terus macam mana keadaan isinya. Kalau tidak puas hati mereka tidak perlu untuk membeli dan boleh pilih yang lain," katanya.