Calon SPM derita kanser ovari

Iklan
Zalikha (tengah) menerima kunjungan dan sumbangan dari SDAHA yang disampaikan oleh Hamid di rumahnya di Kampung Parit Semerah, semalam.

PONTIAN - Dia yang dulunya aktif di sekolah, kini hanya mampu duduk dan terbaring. Impiannya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berbaki kurang tiga bulan lagi terpaksa dilupakan.

Nur Zalikha Abdul Rahman, 17 menderita kanser ovari tahap empat kini bergantung kepada rawatan kimoterapi dan ubat-ubatan bagi memulihkan penyakitnya itu.

Iklan
Iklan

Kunjungan dilakukan rakan-rakan dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ali Haji Ahmad ( SDAHA) tempat dia belajar memberi keceriaan buat Zalikha.

Kehadiran mereka diketuai Pengetua, Hamid Selamat ke kediaman Zalikha di Kampung Parit Semerah membuatnya Zalikha menitiskan air mata kerana cukup rindu untuk kembali ke sekolah.

Iklan

Zalikha turut berkongsi kisah penyakit kansernya itu yang bermula dari benjolan di bahagian bawah tulang rusuk kanan.

Katanya, keadaan bertambah teruk selepas dia terlibat kemalangan motosikal pada bulan Disember tahun lepas.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, cyst pecah dan merebak ke dalam organ dalaman badan. Saya tidak tahu ada cyst sebelum kemalangan itu.

"Doktor mengesahkan saya menghidap kanser ovari tahap empat. Saya perlu ulang alik ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk jalani rawatan kimoterapi sejak dua bulan lepas,” katanya di sini semalam.

Zalikha memberitahu dia sudah menjalani sebanyak tiga kali rawatan kimoterapi setakat ini.

"Badan panas dan sesak nafas, tetapi saya perlu kuat untuk pulih dari sakit kanser ini. Saya hendak ke sekolah macam dulu,” katanya.

Kakaknya, Nor Jannah, 26 berkata Zalikha yang merupakan anak bongsu dari lima beradik menjadi keutamaan keluarga.

Katanya, biarpun mereka adik beradik bekerja sederhana namun tanggungjawab terhadap Zalikha tidak pernah diabaikan lebih-lebih lagi selepas arwah ayah meninggal dunia dua tahun lepas akibat kanser paru-paru.

"Ibu, Jumaeiah Sitar, 59 bekerja sebagai pembantu tabika Kemas. Saya akan tolong ibu jaga adik dan pastikan dia mendapat rawatan sewajarnya,”katanya.

Bagi Pengetua SDAHA, Hamid Selamat, dia berhasrat untuk meneruskan kunjungan pelajar ke rumah Zalikha.

"Rakan Zalikha boleh datang selepas waktu sekolah ke rumah Zalikha bertujuan bertanya khabar. Dari situ akan timbul perasaan ambil berat dan mahu membantu,” katanya.

Kepada sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Jumaeiah (2201-3160-7071).