Kisah tangkur buaya dan batu cincin

Iklan

BARU-BARU ini ketika sedang minum petang di sebuah restoran di Petaling Jaya, saya didatangi seorang warga Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an. Dia menjual pelbagai jenis batu permata dan cincin.

"Mahu beli pak, murah saja,” katanya sambil menunjukkan kotak kayu yang penuh dengan cincin pelbagai warna dan bentuk.

Iklan
Iklan

Saya hanya menggelengkan kepala tanda tidak berminat dan mahu menghabiskan mi goreng dan teh tarik yang dipesan. Namun pemuda itu masih tercegat, enggan berganjak. Dia hanya tersengih.

Tanpa disuruh dia menarik kerusi dan duduk di hadapan saya. Kotak yang penuh cincin yang dipegangnya tadi diletakkan di atas meja.

Iklan

Tutur katanya cukup lembut. Wajahnya terus menguntum senyuman, barangkali berasa yakin bahawa saya akan membeli cincin yang dibawanya.

Satu persatu cincin dalam kotak itu dipakai di jarinya dan ditunjukkan kepada saya.

Iklan

Dia masih tidak berputus asa. Habis segala khasiat batu cincin diceritakan. Katanya, ada batu kalau dipakai boleh jadikan kita kebal.

Kemuncaknya dia membawa keluar daripada begnya dua batang kayu pendek yang diperkenalkan sebagai kemaluan buaya atau panggilannya dalam bahasa Jawa ‘tangkur buaya’.

Tangkur buaya yang sudah dikeringkan itu dikatakan mempunyai pelbagai khasiat kejantanan lelaki dijual pada harga RM1,000. Tangkur itu perlu direbus terlebih dahulu dan diminum air rebusannya.

Saya semakin tertarik dan memesan segelas teh tarik untuk pemuda tersebut.

Kisah pemuda itu mengingatkan saya sewaktu meninjau penempatan haram warga Indonesia di dalam hutan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada tahun 2008.

Warga asing seperti pemuda itu sebenarnya tidak kisah tinggal di mana pun asalkan mereka boleh cari makan di Malaysia. Sebab itu boleh dilihat warga Indonesia mendominasi beberapa kawasan di ibu kota seperti di Keramat, Kampung Baru dan Segambut.

Akibat terdesak untuk mencari makan di negara ini ada di antaranya sanggup menjadi penjenayah. Ini terbukti dengan wujudnya kumpulan penjenayah berbahaya didalangi warga Indonesia dikenali sebagai Geng Palembang yang aktif melakukan samun bersenjata.

Statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga September tahun lalu mencatatkan jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang, majoritinya dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Terbaru, pada Mei lalu negara dikejutkan dengan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Mayat Siti Kharina ditemui di sebuah kondominium yang disewanya di Cyberjaya namun lebih mengejutkan apabila mangsa yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dikaitkan dengan warga asing susulan penahanan lelaki Nigeria yang juga suspek utama kes pembunuhan ketua jururawat itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus memantau lokasi-lokasi panas warga asing.

Menurut beliau, pemantauan yang dilakukan itu adalah berterusan bagi mengesan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh warga asing seperti jenayah dadah dan maksiat.

Beliau mengakui ada warga asing yang ke negara ini memang untuk melakukan jenayah dengan mengumpan dan perdaya mangsa. Ini terbukti dengan pembabitan warga asing dengan penipuan membabitkan kes Love Scam dan Macau Scam yang menyebabkan kerugian kepada mangsa mencecah jutaan ringgit.

Sekalung tahniah kepada Jabatan Imigresen Malaysia yang bertindak menggempur habis-habisan lubuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara. Khabarnya habis ceruk kawasan persembunyian PATI diredah oleh anggota penguat kuasa imigresen sejak operasi bersepadu digerakkan bersama agensi penguatkuasaan yang lain tahun ini.

Kesimpulannya warga asing ini boleh menjadi sesiapa sahaja untuk meyakinkan kita termasuk sanggup jadi girlfriend atau boyfriend dan kerana percaya semuanya boleh diserahkan. Akhirnya ada juga rakyat Malaysia yang merana dan papa kedana.

Berbalik kepada cerita tangkur buaya tadi, kalaulah saya ini mudah percaya dan termakan dengan kata-kata pemuda tadi pastinya bukan RM1,000 yang lebur dek tangkur buaya, malah duit dalam bank kalau ada berjuta ringgit pun boleh licin bersih.

Licin bukan sebab disamun, tapi kita sendiri yang rela menyerahkan segalanya hanya kerana terpedaya dengan kata-kata manis mereka yang bergelar warga asing.